Pengurusan Produksi Teater
**Boleh menambah maklumat yang sudah disediakan sekiranya
ada. Lukiskan/Lakarkan carta bagi menerangkan kedudukan setiap ahli dalam
produksi.
Ahli-ahli dalam pengurusan sebuah produksi:
1) Pengurus Produksi
1.1 Setiausaha & Pen. Setiausaha
1.2 Bendahari & Bendahari
1.3 Ahli Jawatankuasa
2) Pengarah Produksi
3) Pengurus Pentas
4) Pereka Bentuk Latar (setting)
5) Pereka Bentuk Cahaya
6) Penata Rias
7) Penata Bunyi / Muzik
8) Pereka Props
9) Pereka Bentuk Kostum / Busana
10) Pengurus Artis / Kebajikan
11) Petugas lokasi (Runner)
12) Petugas Pentas / Krew
PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB
1) Pengurus Produksi (Production Manager)
Pengarah produksi bertanggungjawab memaparkan elemen-elemen
artistik sebuah produksi tetapi tiada produksi mampu dipersembahkan untuk
penonton tanpa komponen teknikal dan ’business’. Oleh itu koordinasi
elemen-elemen itu sangatlah mustahak dan orang yang bertanggungjawab sepenuhnya
untuk mengkoordinasikannya ialah pengurus. Pengurus bertanggungjawab dalam
aspek-aspek ’business’.Pengurus produksi juga bertanggungjawab untuk membuat
kertas kerja/kertas konsep persembahan untuk dimajukan sebagai ‘proposal’
kepada pihak-pihak tertentu yang memerlukan. Di bawah pengurus produksi
ialah jawatankuasa kerja yang terdiri dari Setiausaha, Bendahari dan Ahli
jawatankuasa. Antara tugasnya ialah:
-mencari wang untuk membiayai produksi
-berhubung dengan pihak luar yang meminta produksi atau
pembiaya produksi (client)(jika ada)
-mencari serta mendapatkan hak atau kelulusan skrip yang
mahu dipentaskan. (jika ada)
-mendapatkan pengarah, pelaku, perekabentuk, petugas pentas
dan lain-lain yang berkaitan dengan produksi.
-menyewa dewan, panggung atau ruang persembahan (jika perlu)
-menyelia tugas-tugas perlaksanaan produksi
-membuat promosi (jika perlu)
-menyedia belanjawan untuk sesebuah produksi.
-membuat laporan hasil produksi untuk dijadikan dokumentasi.
2) Pengarah Produksi
Orang yang bekerja paling rapat dengan pelaku. Pengarah
membangunkan konsep produksi, menjelaskan kepada pelaku-pelaku, membantu pelaku
mewujudkan peranan dan watak-watak dan menggarap keseluruhan persembahan
produksi. Pengarah adalah seorang yang menerajui sebuah produksi yang
melibatkan kerja-kerja teknikal dan proses kreatif. Merupakan pemimpin
kepada sekumpulan tenaga kerja pentas bagi melaksanakan kehendak kesenian yang
menepati ilusi dan kreativiti. Maka itu seorang pengarah harus jelas
terhadap kerja seni yang hendak disempurnakan. Pengarah juga perlu
mempunyai cara komunikasi yang boleh difahami oleh semua yang terlibat dengan
produksinya.
Bertanggungjawab mengkoordinasikan aspek-aspek lain di dalam
sesebuah produksi seperti idea-idea untuk pereka-pereka bentuk. Tugas-tugas
pengarah ialah:
Skrip:
-Memahami dan menganalisis skrip dari segi plot, tema serta
persoalan yang ingin
disampaikan oleh penulis.
-Menentukan gaya pementasan yang hendak
disampaikan
-Melakukan perubahan bagi penyesuaian persembahan jika perlu
dengan syarat mendapat persetujuan daripada penulis asal.
Konsep Persembahan:
-Memilih dan mengembangkan konsep keseluruhan produksi.
-Menerangkan konsep persembahan yang dikehendaki kepada
semua pelaku serta petugas-petugas lain.
-Menggunakan semua ilmu dalam seni persembahan yang
diketahuinya untuk melaksanakan realiti konsep persembahan.
-Menggarap unsur-unsur dramatik dan estetik dalam sebuah
persembahan.
Lakonan/Pelakuan:
-Memahami watak-watak (peranan-peranan) – fizikal,
psikologi, mental
-Menetapkan jenis watak dan perwatakan dalam persembahan.
-Memilih pelaku (dengan menggunakan pelbagai kaedah untuk
memilih)
-Menjadi pengajar, pengkritik, pemimpin, sahabat,
pendisiplin serta penggarap pada sebuah persembahan.
-Mengarah latihan serta menyusun ruang lakon para pelaku di
pentas.
-Menyediakan jadual latihan.
Teknikal:
-Memahami keperluan hiasan latar (setting), kostum (busana),
tatacahaya, tatarias supaya sesuai dengan konsep yang dipilih.
-Bekerjasama dengan petugas-petugas produksi yang lain
dengan berjumpa dan berbincang dengan pereka-pereka tentang konsep produksi.
-Menetapkan apa yang dikehendakinya dan pereka-pereka mesti
menyediakan perkara tersebut.
-Mengadakan perjumpaan dengan pasukan teknikal dari semasa
ke semasa untuk meninjau perkembangan setiap seksyen.
3) Pengurus Pentas (Stage Manager)
Pengurusan pentas bermaksud pengendalian sekumpulan tenaga
kerja bagi menjayakan sesebuah produksi. Mereka adalah saluran penghubung
antara tenaga produksi dengan pihak pentadbiran dan bertanggungjawab
melaksanakan apa yang telah dirancang supaya berjalan lancar.
Peneraju pada hari persembahan ialah pengurus pentas.Segala
tugas pentas seperti pertukaran set, pertukaran pakaian dan make up,
keluar masuk pelaku serta propsyang digunakan pada hari pementasan adalah
bawah pengawasannya.
PERLAKSANAAN
Pengurusan seni persembahan/pentas penting berdasarkan kefahaman
berkenaan dengan pentas dan pentadbiran mengikut organisasi yang menganjurkan
pementasan. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu disediakan:
Tenaga Kerja Pengurusan Pentas
Mengenal pasti peranan dan tanggungjawab setiap ahli tenaga
produksi seperti penerbit, pengurus produksi, pengarah teknikal, pengurus
pentas, pengurus props, set, lampu, kostum, bunyi, muzik dan para pereka cipta.
Persediaan dan Persiapan Pengurusan Pentas
i. Menubuhkan satu pasukan tenaga kerja
ii. Merancang pementasan
iii. Persiapan pementasan
Persiapan Latihan Pementasan
i. Menentukan masa latihan
ii. Memahami Skrip
iii. Props dan peralatan
iv. Set dan kostum
v. Tempat latihan
vi. Keperluan semasa latihan
vii. Persiapan tempat latihan
viii. Mengenal pasti ruang lakon
ix. Menentukan garis panduan set
Semasa Latihan Pementasan
ii. Pengenalan ruang latihan dan tenaga produksi
iii. Tugas harian
iv. Pengendalian ruang latihan
v. Catatan latihan
vi. Jadual latihan
vii. Pembisik skrip
viii. “Blocking techniques”
ix. Naskah
Tugas Di Luar Ruang Latihan
I Pengurusan produksi
ii. Belanjawan produksi
iii. Mesyuarat produksi
iv. Penjadualan produksi
Ke Arah Pementasan
I Latihan langsung
ii. Senarai lengkap keperluan
iii. Pelan lantai
iv. Pemindahan lokasi
v. Pengangkutan
Mengenal Pentas
I Bekalan pentas sedia ada
ii. Alat-alat Bantu Penanda (MASKING)
iii. Peralatan asas pertukangan
iv. Kemudahan-kemudahan pentas sedia ada
v. Aspek teknikal pentas
vi. Kesihatan dan keselamatan atas pentas
Mingggu Pementasan
I Masuk ke ruang pementasan sebenar
ii. Penyesuaian dan penetapan ruang pementasan
iii. Pembinaan set / Penentuan props
iv. Pertukaran babak / Penataan cahaya/Kesan bunyi
v. Raptai kostum / Latihan teknikal
vi. Tentu ruang pembisik skrip
vii. Senarai semak
viii. Hormat tamat (Curtain Calls)
ix. Semasa persembahan
Selesai Pementasan
i. Pemulangan barang/Kebersihan pentas
ii. Penstoran barang
iii. Post mortem/Laporan
4) Pereka Bentuk Latar (Setting Designer)
Bertanggungjawab untuk mereka cipta bentuk latar pentas sama
ada ringkas atau kompleks dan setiap latar mempunyai reka bentuknya. Susun
atur set, tinggi dan rendahnya, tanpa atau berset adalah dari sudut pandangan
pereka bentuk latar. Bersifat latar hias yang menggambarkan tempat, masa
dan status, sama ada di luar atau di dalam dewan, set perlu disediakan sebelum
pementasan bermula. Terdapat pelbagai jenis dan rupa set bergantung pada
kehendak pementasan dan citarasa perekanya. Pereka Bentuk Latar perlu
mengetahui tentang set dari peringkat ilusi membawa ke realiti.
Keperluan – keperluan tertentu di dalam hiasan latar:
-Elemen hiasan latar mestilah berfungsi dan bukan hanya
menjadi ”tempelan” semata-mata.
-Set harus kukuh dan mudah pindah.
-Kehadirannya harus jelas dilihat supaya ilusi tidak
terjejas.
-Set harus ringan, terbentuk di dalam unit-unit (adjustable).
-Hiasan yang dibentuk dapat digunakan berkali-kali.
-Tidak membahayakan pelaku dan pekerja dengan melihat pada
ciri-ciri keselamatan
yang sempurna.
Harus sentiasa berbincang dengan pengarah produksi.Bertanggungjawab
dengan kemahuan serta keperluan pengarah produksi dari masa ke semasa.
5) Pereka Bentuk Cahaya (Lighting Designer)
Penataan cahaya pentas bermaksud bentuk-bentuk iluminasi di
pentas. Pereka bentuk cahaya memutuskan setiap ruang cahaya: warna,
adunan, bilangan lampu, intensiti dan kebenderangan lampu, sudut di mana cahaya
menyinari pelakon dan jangka waktu yang diperlukan untuk diterangkan,
digelapkan atau disuramkan. Terang atau gelap bermaksud kesan terhadap
sesuatu yang digambarkan berdasarkan emosi atau zaman. Dalam hal ini
cahaya perlu direka atau ditatakan. Tugas ini diterajui oleh seorang
pereka cahaya dan dibantu oleh satu kumpulan kerja yang dapat mencapai maksud.
Harus sentiasa berbincang dengan pengarah produksi dan bertanggungjawab
dengan kemahuan serta keperluan pengarah produksi dari semasa ke semasa.
6) Pereka Bentuk Kostum / Busana (Costume Designer)
Reka bentuk kostum bermaksud apa-apa sahaja bentuk pakaian
yang dipakai oleh pelaku di atas pentas. Pereka bentuk kostum bertugas mencipta
atau menentukan apakah kostum dan bahan yang sesuai untuk digunakan bagi
sesebuah produksi dengan menitikberatkan konsep yang telah ditetapkan. Pemilihan
warna hendaklah diselaraskan dengan latar/set dan pencahayaan agar tidak
bercanggah dengan kemahuan pementasan/persembahan.Pemilihan pakaian juga
hendaklah memberi keselesaan kepada para pelaku (si pemakai). Pengurusannya
memerlukan penelitian dan perapian kerana melibatkan urusan bahan seni dan
kreatif. Selain itu, pengendali terhadap mesin dan teknikal juga perlu
dititikberatkan.
7) Penata Rias (Make-Up)
Menentukan apakah bentuk make-up yang sesuai
dipakai oleh setiap pelaku. Pemilihan warna hendaklah diselaraskan dengan
watak dan pencahayaan agar tidak ditenggelami oleh latar dan cahaya lampu.
Tatarias juga hendaklah bersesuaian dengan kostum yang digunakan dan perlulah
berbeza dengan setiap konsep persembahan dan watak yang dibawa oleh pelaku
dalam persembahan.Tatarias yang tidak sesuai dari segi pencampuran warna akan
mencacatkan watak dan perwatakan sekali gus keseluruhan ‘mood’ persembahan.
8) Penata Bunyi (Audio) / Muzik
Mencipta dan menentukan apakah bentuk kesan bunyi yang
digunakan dalam persembahan. Latar bunyi yang dicipta hendaklah bersesuaian
dengan konsep serta kemahuan pengarah persembahan.
9) Pereka dan Pengurusan Props
Props adalah barang atau peralatan yang
dibawa/digunakan oleh pelaku. Pereka props bertugas menyediakan props yang
akan digunakan oleh setiap pelaku seperti yang dikehendaki oleh pengarah dan
watak dalam persembahan. Props hendaklah berfungsi untuk
memperkukuhkan penjelasan perwatakan. Props boleh menjadi sesuatu
yang asing jika pembuatannya adalah di luar kebiasaan. Props juga
membantu pelakon mendapatkan mood berlakon dan sekali gus memberi“business”
kepada aksinya.
PERLAKSANAAN
Kepentingan Pengurusan Props
Menyentuh kefahaman mengenai keperluan dan kepentingan prop.
Tenaga Kerja Pengurusan Props
Mengenalpasti peranan dan tanggungjawab setiap ahli tenaga
yang menguruskan props seperti props master, props designer,
props man, props crew dan props supplies.
Pengurusan Props
I Menubuhkan satu pasukan tenagakerja
ii Menentukan bengkel dan kategori props
Iii Pengendalian props berdasarkan jenis seperti set props,
trim props, set dressing,
hand props, personal props
Persiapan Props Untuk Pementasan
I Memahami Skrip
ii. Menentukan props mengikut skrip
iii. Merancang penggunaan props yang
berkaitan
iv. Menyediakan props
v. Props, set, kostum dan pencahayaan
Semasa Latihan Pementasan
I Keperluan props percubaan
ii. Pengendalian props diruang latihan
Ke Arah Pementasan
I Latihan langsung mengendalikan props
ii. Senarai lengkap keperluan props
iii. Plan lantai
iv. Pemindahan lokasi
v. Pengangkutan props
Prop dan Pementasan
I Masuk ke ruang pementasan sebenar
ii. Penyesuaian dan penetapan ruang prop
iii. Raptai Props
iv. Latihan Teknikal
v. Senarai Semak
vi. Sessi Fotografi
vii. Malam pembukaan
viii. Semasa persembahan
ix. Sistem ganti (understudies)
x. Keselamatan props
xi. Malam akhir
Selesai Pementasan
I Malam akhir
ii. Pemulangan barang
iii. Kebersihan props
iv. Penstoran props
v. Post Mortem
vi. Laporan
10) Pengurus Artis
Bertanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap pelaku serta
ahli produksi yang terlibat berada di tempat latihan pada masa yang telah
ditetapkan. Sekiranya pelaku tidak tepat pada masanya, pengurus artis akan
bertugas untuk mendapatkan (mencari) pelaku tersebut untuk berada di tempat
yang sepatutnya. Pengurus artis bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada
pengarah sama ada semua pelaku dalam produksi sudah sampai ataupun belum di
lokasi supaya dapat latihan dimulakan.Pengurus artis WAJIB menyimpan nombor
perhubungan dan data semua ahli produksi seperti alamat (jika diperlukan).
11) Petugas Lokasi (Runner)
Bertugas untuk memastikan semua bekalan yang diperlukan
berada dan ada pada masa yang diperlukan oleh pengarah dan kesemua produksi. Sekiranya
tidak, maka tugas runner untuk pergi mendapatkannya.
12) Petugas Pentas / Krew
Mereka ialah petugas-petugas am yang bertugas untuk membantu
dalam kerja-kerja produksi persembahan bawah arahan pengurus pentas. Krew
bertangungjawab dalam hal-hal kekemasan di atas pentas terutamanya dalam
membantu bahagian-bahagian seperti setting, penyediaan props, pencahayaan,
tatabusana, tatarias, dan seterusnya yang melibatkan kerja-kerja pementasan.